DOA BUAT MU AHLI GHAZZAH

Wanita

Photobucket

YA ALLAH YA RAHMAN YA RAHIM.....

Thursday, November 6, 2008

Peringkat Muhasabah Diri Menurut Imam Al Ghazali


Imam Ghazali telah menetapkan beberapa marhalah (peringkat) untuk bermuhasabah diri seperti berikut;





1) AL-MUSYARATAH Pada peringkat ini kita mengenali bahawa diri itu adalah diri kita sendiri dan hati itu adalah hati kita sendiri. Ditangan kitalah terserah segala amalan baik dan buruk. Ketahuilah bahawa membaiki diri adalah dengan amalan soleh manakala merosakkan diri dan hati adalah dengan maksiat dan kejahatan.

2) AL-MURAQABAH Intai-intailah diri sewaktu mengharungi amalan atau membuat sesuatu aktviti dan perhatikanlah segala tindakan dengan mata hati. Sekiranya kita mendapati bahawa diri kita telah melanggari hak-hak Allah Taala dan melakukan dosa kepadaNya, maka segeralah bertaubat. Baiki diri dengan mentaati segala suruhan dan laranganNya.

3) AL-MUHASABAH Apabila seseorang hamba itu menghitung (menghisab) amalan dirinya sendiri, adakalanya rutin seharian yang dilalui dipenuhi dengan ketaatan dan pahala. Maka sewajarnyalah hamba itu memuji Allah dan bersyukur kepadaNya, berdoa dengan penuh kerendahan hati moga Allah mengurniakan kepadanya kekuatan dan keteguhan dalam beramal ibadah keranaNya. Tetapi sekiranya kehidupan seharian yang sedang dilalui itu dipenuhi dengan maksiat dan noda maka hendaklah dia segera berhenti, mencela dirinya sendiri diatas keterlanjuran dan paling penting berazam untuk mencegah dirinya daripada mengulangi apa yang pernah dilakukannya sebelum ini.

4) AL-MU`AAQABAH
Amaran dan tegahan untuk berhenti dari melakukan dosa dan maksiat tidak memadai sekiranya tidak diiringi dengan `iqaab (denda / hukuman) yang zahir. `Iqaab itu menjadi penolak dan penghalang kepada dosa dan maksiat yang telah dan akan dilakukan oleh seseorang hamba. Diriwayatkan bahawa Sayyidina Umar al-Khattab telah mendera dirinya sendiri kerana meninggalkan solat asar berjamaah dengan menyedekahkan tanahnya yang bernilai 200 ribu dirham. Manakala sesetengah ulama` pula mewajibkan dirinya sendiri dengan berpuasa selama setahun atau dalam satu tempoh masa yang panjang (dengan harapan untuk menundukkan nafsu serta keinginan terhadap dunia dan maksiat), berjalan kaki untuk menunaikan haji dan sebagainya. Semua ini bertujuan untuk menta`dib dan mentarbiah diri agar tidak mengulangi tegahan Allah Taala.

5) AL-MUJAHADAH
Iaitu melawan segala kehendak hawa nafsu yang menjerumuskan seseorang hamba ke lembah dosa dan maksiat. Banyakkan bersabar, meyakini bahawa nikmat dunia adalah sementara sahaja dan sentiasa terikat dengan kehidupan akhirat yang terdapat pada hari tersebut syurga yang penuh dengan kenikmatan serta neraka jahannam yang penuh dengan sengsara dan azab. Sentiasalah berwaspada, bermuhasabah, melakukan `iqaab dan bermujahadah dari masa kesemasa dan beramallah dengan amalan-amalan yang dikehendaki oleh Allah Taala dengan bersungguh-sungguh supaya tidak futur (lemah) dipertengahan jalan menuju Allah yang Maha Esa.

No comments: