DOA BUAT MU AHLI GHAZZAH

Wanita

Photobucket

YA ALLAH YA RAHMAN YA RAHIM.....

Thursday, March 19, 2009

SIAPAKAH SALAFI?

Wednesday, March 18, 2009

CINTA dan IKUT Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam


Alhamdulillah. Allahumma solli ‘ala Muhammad wa ‘ala ali Muhammad. Amma ba’d.

Minggu lepas, di mana-mana pun masyarakat Muslim di seluruh dunia menyambut MaulidurRasul. MaulidurRasul disambut bagi memperingati tarikh kelahiran Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam.

Walaupun terdapat perbezaan pendapat di kalangan para ulama’ berkenaan tarikh sebenar kelahiran insan mulia Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam, namun rata-rata masyarakat kita telah menerima bahawa 12 Rabi’ul awwal merupakan tarikh maulidnya Baginda.

Di dalam kitab ar-Rahiq al-Makhtum karangan Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri menyatakan bahawa tarikh kelahiran Nabi Muhammad sallAllahu ’alaihi wasallam adalah pada hari Isnin 9 Rabi’ulawwal tahun pertama peristiwa gajah. Ia juga bersamaan 20 atau 22 April 571 (M).

Sebahagian ulama’ ada yang mengatakan menyambut maulid ar-Rasul harus, ada juga yang mengatakan ia bid’ah. Namun, saya lebih cenderung untuk tidak meraikannya. Kerana Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam tidak pernah menyuruh kita menyambutnya, dan malah para sahabat Baginda radhiAllahu ‘anhum ajmain juga tidak meraikannya. Namun, jika masyarakat di sini meraikannya dengan mengadakan ceramah dan kuliah maulidurRasul, saya juga turut hadir untuk mendapat peluang refresh sejarah kehidupan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam. Mudah-mudahan kita mendapat manfaat daripada sambutan maulidurRasul yang disambut, insyaALLAH.

Apa yang lebih utama dari menyambut hari kelahiran Baginda s.a.w sebenarnya ialah untuk kita menerapkan rasa cinta dan ikut sunnah Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam.

Bahkan, syarak telah menetapkan bahawa mencintai Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam adalah sebahagian kewajipan seorang muslim.

Anas bin Malik r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

“Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mencintaiku lebih daripada ibubapa, anaknya dan seluruh ummat manusia.” - Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam telah dipilih ALLAH subhanahu wata’ala sebagai Pesuruh dan KekasihNYA. Kita sebagai muslim wajib mencintai insan yang paling dicintai dan diredhai ALLAH. Inilah peringkat cinta yang tertinggi di kalangan makhluq.

Betapa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam telah berkorban dan menghadapi pelbagai dugaan dalam berjuang untuk menyampaikan nikmat ISLAM dan IMAN yang kita perolehi saat ini.

Baginda pernah dipukul, disakiti, dicela, dimaki dan dipulaukan oleh orang yang paling hampir dengannya. Namun, Baginda tetap tidak berganjak dari misi menyampaikan wahyu kepada kita semua.

Sanggupkah kita melalui perkara yang sama seperti Rasulullah?! Banyak benar telah Baginda s.a.w lakukan untuk kami. Oh, Rasulullah…kami cinta padamu!!

Ungkapan cinta tidak memadai untuk kita menunjukkan rasa cinta kepada Baginda. Malah cinta sahaja tidak mencukupi. Kita mesti menerapkan al-hub wal-ittiba’ iaitu cinta dan ikut. Sebagai seorang muslim sejati, mencintai Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam perlu disertai dengan ikut sunnah yang Baginda s.a.w tinggalkan.

Jika sekadar cinta tetapi tidak ikut, samalah kita macam Abu Talib yang mencintai Nabi s.a.w sehingga kematian beliau. Tetapi sayang sekali, seruan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam tidak mahu diterimanya. Sikap seperti ini ramai dimiliki oleh ahli masyarakat. Mereka mempunyai rasa cinta kepada Nabi s.a.w. Mereka marah dan berang apabila ada pihak mengutuk, mengejek, mengkeji, mengkartunkan dan memperlekehkan Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam. Sedihnya, dalam masa yang sama mereka tidak pula menurut perintah2 ALLAH melalui seruan Baginda s.a.w.

Jika sekadar ikut dan tidak cinta pula, samalah kita dengan para munafiqun yang berlegar-legar di sekeliling Nabi s.a.w. Mereka ikut Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam, malah melakukan beberapa sunnah, tetapi di dalam hati mereka tidak mencintai pun Nabi s.a.w, malah mempunyai niat buruk kepada Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam.

Bagaimana cara kita meluahkan rasa cinta kita kepada Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam?

1. Kenali Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam

Kisah-kisah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam yang kita pelajari sejak di bangku sekolah sepatutnya telah menjadikan kita mengenali peribadi Baginda s.a.w. Daripada kisah2 tersebut, banyak yang telah kita ketahui betapa pengorbanan dan perjuangan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam untuk menyampaikan seruan ALLAH subhanahu wata’ala sangat berar kepada kita.

Dengan mengenali kisah Nabi s.a.w, pasti akan terbit rasa cinta. Orang kata, “Tak kenal, maka tak cinta”. Jadi, untuk menerbitkan rasa cinta, kita perlu menyelidiki sifat dan sejarah Baginda s.a.w. Kenalilah Nabi s.a.w. InsyaALLAH, melalui buku-buku, ceramah, kuliah dan lain2 sumber banyak boleh didapati. Dalam ceramah-ceramah maulidurRasul juga dapat kita ambil manfaat untuk refresh apa yang kita lupa dan mengambil ilmu dari para penceramah yang ‘alim, insyaALLAH.

2. Bersolawat

Ummat ISLAM disuruh untuk bersolawat kepada Baginda.

“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, bersalawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.” - al-Ahzab: 56.

Barangsiapa yang berselawat keatasku sekali, nescaya Allah akan berselawat keatasnya 10 kali ganda - (HR Muslim)

Sentiasalah bersolawat. Tatkala lapang atau sibuk, getarkanlah lidah kalian dengan bersolawat. Solawat iaitu do’a kesejahteraan kepada Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam adalah cara yang paling sesuai untuk kita menerapkan dan menyuburkan rasa cinta kepada Nabi s.a.w.

Solawat Ibrahimiyyah iaitu seperti solawat yang dibaca tatkala tasyahud dalam solat sangat disarankan membacanya kerana ia telah diajarkan oleh Rasulullah untuk kita amalkannya.

selawat-ibrahimiyyah

3. Menghidupkan sunnah.

Hendaklah kita cuba sedaya upaya untuk mengamalkan segala sunnah Baginda samada dari segi perkataan mahupun amalan.

Pada susuk tubuh dan akhlaq Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam terdapat banyak tauladan dan kebaikan yang boleh kita ambil. Firman ALLAH yang maksudnya:

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” Surah al-Ahzab: 21.

Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Sesungguhnya aku telah tinggalkan di antara kalian sesuatu yang jika kalian berpegang teguh dengannya, maka kalian tidak akan tersesat selamanya; iaitu kitabullah dan sunnah NabiNYA.” (Disahihkan oleh Al-Hakim)

“Barangsiapa yang membenci sunnahku, maka dia bukan termasuk golonganku” (HR Muttafaqun ‘alaih)

“Aku berwasiat kepadamu agar bertakwa kepada Allah ‘Azza wajalla, agar mendengar, taat dan patuh meskipun pemimpinmu seorang budak. Barangsiapa hidup panjang umur dari kamu maka dia akan melihat banyak silang-sengketa. Berpeganglah kepada sunnahku dan sunnah-sunnah khulafaur rasyidin yang mendapat petunjuk dan hidayah (sesudahku). Gigitlah kuat-kuat dengan gigi gerahammu. Waspadalah terhadap ciptaan persoalan-persoalan baru. Sesungguhnya tiap bid’ah mengandung kesesatan.” (HR. Tirmidzi)

Segala pesanan dan perintah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam wajib untuk kita ta’at dan amalkan. Perintah, pesanan dan nasihat Baginda s.a.w boleh kita ikuti melalui pembacaan buku2 hadith yang banyak di pasaran. Cara Baginda s.a.w bercakap, berjalan, makan, minum, bergurau, gelak, berpakaian, berniaga, berjiran, bermasyarakat, berumahtangga, bernegara dan sebagainya wajar diambil untuk diamalkan di dalam kehidupan kita.

Nescaya, hidup kita akan sejahtera, berkat dan lebih bermakna sekiranya sunnah-sunnah Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam diamalkan dalam kehidupan seharian.

Mudah2an MaulidurRasul yang baru-baru ini ramai di kalangan kita raikan dapat membuka minda dan mencetus keazaman untuk mencintai dan mengikuti sunnah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam. Semoga kita semua tergolong dalam kalangan ummat Baginda s.a.w yang beruntung dan diberi syafaat di akhirat kelak, amin.

GABUNGAN UMNO - PAS

Bergabung Atas Asas Apa?

Apakah laungan gabungan antara PAS-UMNO sejak kebelakangan ini hanya suatu retorik atau sememangnya ada agenda tersembunyi yang ingin diraih dengan lontaran cetusan idea oleh bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo? Walau apapun agendanya yang pasti ini adalah suatu lontaran pemikiran yang perlu dilihat dari kacamata Islam. Persoalannya ialah mengapa isu ini muncul tiba-tiba di saat ini? Mungkinkah untuk meraih undi populariti menjelang pemilihan agung UMNO? Ataukah mungkin untuk mengalih perhatian rakyat dari isu serangan oleh ahli dewan undangan rakyat(ADUN) dari Pakatan Rakyat baru-baru ini terhadap beliau? Hanya beliau sahaja yang ada jawapannya. Islam sebagai suatu sistem kehidupan yang diturunkan oleh Allah SWT untuk mengatur dan menyelesaikan seluruh persoalan kehidupan manusia ini sememangnya mempunyai jawapan kepada persoalan di atas.

Terlampau banyak ayat al-Quran yang menjelaskan bahawa adalah menjadi suatu kewajiban bagi umat Islam itu bersatu di atas dasar aqidah. Bergabung atau bersatunya bangsa Melayu itu seharusnya bukanlah atas asas bangsa tetapi adalah atas dasar aqidah Islam itu sendiri. Inilah yang sebenarnya dituntut oleh Islam. Firman Allah SWT “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara”. [TMQ al-Hujuraat (49):10]. Bersatunya umat Islam itu adalah dalam rangka mentaati perintah Allah SWT bukan selain darinya. Firman Allah SWT. “dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa Yang melanggar perintahNya)”[TMQ al-Maa-idah(5):2]. Dan sudah semestinya bergabung dan bersatunya umat Islam itu adalah untuk berpegang teguh dengan Islam bukan yang selain dari.

Bukan diatas asas bangsa ashobiyyah. “dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu Dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu Dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam Yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya” [TMQ ‘ali-Imran:(3):103].

Jika inilah asas yang dijadikan dasar untuk umat Islam bersatu maka kita yakin bahawa idea yang dilontarkan itu akan pasti dapat direalisasikan sebagaimana kejayaan pemimpin politik ikutan umat Islam, Nabi Muhammad SAW yang telah berjaya menyatukan kelompok ‘Aus dan Khazraj di Madinah dan seterusnya berjaya mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Anshar. Sejarah kegemilangan sistem Khilafah yang pernah terwujud selama 1400 tahun dengan kejayaannya menyatukan pelbagai bangsa dan kaum di bawah suatu sitem pemerintahan (Khilafah) merupakan bukti kemampuan Islam untuk menyatukan seluruh umat manusia. Apa yang perlu ada untuk menghasilkan keinginan ini adalah suatu pakej idea/fikrah dan suatu sistem yang akan membumikan idea/fikrah tersebut. Tidak lain sistem tersebut adalah Khilafah. Jika Islam tidak dijadikan asas, sebaliknya manfaat dan asas 'kemelayuan' yang dijadikan tolok ukurnya bagi menggagas idea gabungan UMNO dan PAS maka sudah pasti impian untuk melihat idea ini terealisasi akan hanya menjadi mimpi fatamorgana di siang hari. Dan sejarah 1974 itu kembali berulang...

Sunday, March 15, 2009

TAHNIAH KEPADA ADIK NIK NUR MADIHAH

Beza Antara Merebut Nama Allah Dan Mempertahankan Akidah

Isu dalam artikel ini telah ditulis oleh Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin setahun yang lalu. Dicadangkan untuk pembacaan.

Banyak pihak mendesak saya memberikan pandangan tentang penggunaan nama Allah oleh agama lain khususnya agama Kristian di Malaysia ini. Pada awalnya, saya selalu mengelak, cuma memberikan pandangan ringkas dengan berkata: “Isu ini bukan isu nas Islam, ianya lebih bersifat pentadbiran atau tempatan.

Peraturan ini mungkin atas alasan-alasan setempat seperti kenapa sekarang baru ditimbulkan isu ini? Kenapa hanya Bible dalam bahasa melayu sahaja yang hendak menggunakan panggilan Allah, tidak pula edisi inggerisnya? Adakah di sana ada agenda tersembunyi? Maka wujudnya tanda soal dan beberapa prasangka yang mungkin ada asasnya. Maka lahirlah kebimbangan terhadap kesan yang bakal timbul dari isu itu nanti.

Namun, akhir-akhir ini saya terus didesak. Saya kata: jika anda hendak tahu pendirian Islam bukanlah dengan falsafah-falsafah tentang akar bahasa itu dan ini yang diutamakan. Rujuk terdahulu apa kata al-Quran dan al-Sunnah. Lepas itu kita bincang hukum berkenaan bertitik tolak dari kedua sumber tersebut.

Kadang-kala kesilapan kita dalam mempertahankan perkara yang tidak begitu penting, boleh melupakan kita kepada isu yang lebih penting. Isu yang terpenting bagi saya adalah kefahaman mengenai keadilan dan kerahmatan Islam yang mesti sampai kepada setiap rakyat negara ini, muslim atau bukan muslim. Supaya gambaran negatif yang salah terhadap Islam dapat dikikis dari minda mereka yang keliru.

Di samping itu, hendaklah kita jelas bahawa yang membezakan akidah Islam dan selainnya bukanlah pada sebutan, atau rebutan nama Allah, sebaliknya pada ketulusan tauhid dan penafian segala unsur syirik. Di samping, kita mesti bertanya diri kita: mengapakah kita sentiasa merasakan kita akan menjadi pihak yang tewas jika orang lain memanggil tuhan Allah? Mengapakah kita tidak merasakan itu akan lebih memudahkan kita menyampaikan kepada mereka tentang akidah Islam?. Maka, apakah isu ini bertitik tolak dari nas-nas Islam, atau kebimbangan disebabkan kelemahan diri umat Islam itu sendiri?

Jika kita membaca Al-Quran, kita dapati ia menceritakan golongan musyrikin yang menentang Nabi Muhammad s.a.w juga menyebut nama Allah dan al-Quran tidak membantah mereka, bahkan itu dijadikan landasan untuk memasukkan akidah Islam yang sebenar.

Firman Allah: (maksudnya) “Dan Demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!”. (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!” (Surah al-Zukhruf ayat 87-88).

Firman Allah dalam ayat yang lain: (maksudnya) “Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (Surah al-Ankabut ayat 63).

Ayat-ayat ini, bahkan ada beberapa yang lain lagi menunjukkan al-Quran tidak membantahkan golongan bukan muslim menyebut Allah sebagai Pencipta Yang Maha Agung. Bahkan Nabi Muhammad s.a.w disuruh untuk mengucapkan kesyukuran kerana mereka mengakui Allah. Apa yang dibantah dalam ayat-ayat ini bukanlah sebutan nama Allah yang mereka lafazkan, sebaliknya ketidak tulusan tauhid yang menyebabkan akidah terhadap Allah itu dipesongkan atau bercampur syirik.

Justeru, soal bukan muslim mengakui Allah tidak dibantah oleh Islam, bahkan kita disuruh bersyukur kerana pengakuan itu. Cuma yang dibantah ialah kesyirikan mereka. Umpamanya, jika kita mendengar bukan muslim menyebut “Allah yang menurunkan hujan, atau menumbuhkan tumbuhan”, maka kita tentu gembira kerana dia mengakui kebesaran Allah.

Apakah patut kita kata kepadanya: awak jangan kata Allah yang menurunkan hujan, atau mencipta itu dan ini, awak tidak boleh kata demikian kerana awak bukan muslim, sebaliknya awak kena kata tokong awak yang menurun hujan”. Apakah ini tindakan yang betul? Tidakkah itu menjauhkan dia dari daerah ketuhanan yang sebenar? Kita sepatutnya berusaha mendekatkan dia kepada ajaran yang benar. Namun, jika dia berkata: “Tokong ini adalah Allah”. Saya kata: “Awak dusta, itu tidak benar! Maha suci Allah dari dakwaan awak”.

Maka, ketika Allah menceritakan peranan peperangan dalam mempertahankan keamanan dan kesejahteraan manusia,

Allah menyebut: (maksudnya) “..dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang (pencerobohan) setengah yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak dalam semua tempat itu dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamanya (ugama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Perkasa. (Surah al-Hajj ayat 40).

Ayat ini mengakui tempat-tempat ibadah itu disebut nama Allah. Adapun berhubung dengan orang Kristian,

Allah menyebut: (maksudnya) “Sesungguhnya telah kafirlah mereka yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari yang tiga (triniti)”. padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa..(Surah al-Maidah ayat 73).

Ayat ini tidak membantah mereka menyebut Allah, tetapi yang dibantah adalah dakwaan bahawa Allah adalah satu dari yang tiga.

Justeru itu kita lihat, orang-orang Kristian Arab memang memakai perkataan Allah dalam Bible mereka, juga buku-buku doa mereka. Tiada siapa pun di kalangan para ulama kaum muslimin sejak dahulu yang membantahnya. Jika ada bantahan di Malaysia, saya fikir ini mungkin atas alasan-alasan setempat yang saya sebutkan pada awal tadi. Cuma yang diharapkan, janganlah bantahan itu akhirnya memandulkan dakwah Islam dan menjadikan orang salah faham terhadap agama suci ini.

Saya selalu bertanya sehingga bilakah kita di Malaysia ini akan begitu defensive, tidak memiliki anti-bodi dan tidak mahu berusaha menguatkannya dalam diri? Akhirnya, kita terus bimbang dan takut kepada setiap yang melintas. Padahal itu bukan sifat Islam. Islam agama yang ke hadapan, misi dan intinya sentiasa disebarkan.

Sehingga Allah menyebut: (maksudnya):“Dan jika seseorang dari kalangan musyrikin meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke tempat yang selamat. Demikian itu (perintah tersebut) ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam). (Surah al-Taubah ayat 6).

Ada orang tertentu yang berkata kepada saya: nanti orang Islam keliru kerana sebutan nama Allah itu sama antara mereka dan Islam. Lalu rosak akidah orang Islam kita nanti. Saya berkata kepadanya: “Jikalaulah sebutan nama tuhan itulah yang menentukan akidah Islam, tentulah golongan musyrikin Mekah tidak memerlukan akidah yang dibawa oleh Nabi s.a.w. Mereka telah sekian lama memanggil tuhan dengan panggilan Allah.

Lihatlah bapa Nabi kita Muhammad bernama ‘Abdullah yang bermaksud hamba Allah. Tentu sekali bapa baginda lahir pada zaman jahiliah sebelum kemunculan baginda sebagai rasul. Nama itu dipilih oleh datuk Abdul Muttalib yang menjadi pemimpin Quraish pada zaman dahulu. Quraish pada zaman jahiliah juga bertawaf dengan menyebut: LabbaikalLahhumma yang bermaksud: Menyahut seruanMu ya Allah!

Al-Imam Muslim dalam sahihnya meriwayatkan hadis mengenai perjanjian Hudaibiah antara Nabi s.a.w dengan Quraish Mekah, seperti berikut:

“Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi s.a.w : barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)”. Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w menerima bantahan tersebut. Ternyata mereka menggunakan nama Allah.

Maka yang membezakan akidah Islam dan selainnya adalah tauhid yang tulus yang menentang segala unsur syirik. Ketidak jelasan dalam persoalan inilah yang menggugat akidah jenerasi kita. Mereka yang berakidah dengan akidah Islam sangat sensitif kepada sebarang unsur syirk agar tidak menyentuh akidahnya. Bukan semua yang mengakui Allah akan dianggap beriman dengan iman yang sah selagi dia tidak membersihkan diri dari segala unsur syirik.

Lihat, betapa ramai yang memakai serban dan jubah, berzikir sakan tetapi dalam masa yang sama menyembah kubur-kubur tok wali tertentu dengan cara menyeru dan merintih pemohonan darinya. Ini yang dilakukan oleh sesetengah tarekat yang sesat. Apa beza mereka ini dengan yang memanggil nama-nama berhala yang asalnya dari nama orang-orang saleh juga, yang mati pada zaman dahulu.

Firman Allah: (maksudnya) Ingatlah! Untuk Allah agama yang suci bersih (dari segala rupa syirik). dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung (sambil berkata): “Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya. Sesungguhnya Allah akan menghukum antara mereka tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan Yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik). (Surah al-Zumar ayat 3).

Di Malaysia kita pun ada yang memakai gelaran agama menentang pengajaran tauhid rububiyyah, uluhiyyah, asma dan sifat. Mereka ini menyimpan agenda musuh-musuh dakwah. Padahal pengajaran tauhid yang sedemikianlah yang mampu menjadikan muslim memahami dengan mudah hakikat tauhid. Mampu membezakan antara; sekadar mempercayai kewujudan Allah dengan mentauhidkan Allah dalam zatNya, ibadah kepadaNya dan sifat-sifatNya.

Persoalan tauhid anti syirik ini begitu mudah dan ringkas untuk memahaminya. Nabi s.a.w telah menyebarkannya dengan begitu pantas dan mudah. Seorang badawi buta huruf yang datang berjumpa baginda mampu memahami hanya dalam beberapa sessi ringkas. Bahkan mampu pulang dan mengislamkan seluruh kaumnya dengan akidah yang teguh. Namun, di kalangan kita, pengajaran akidah yang dinamakan ilmu kalam begitu berfalsafah dan menyusahkan.

Bukan sahaja badwi, orang universiti pun susah nak faham. Sehingga seseorang bukan bertambah iman, tetapi bertambah serabut. Bertahun-tahun masih dalam kesamaran. Diajar Allah ada, lawannya tiada, dengar lawannya pekak, lihat lawannya buta..lalu ditokok tambah dengan falsafah-falsafah dan konsep-konsep yang menyusahkan. Padahal penganut agama lain juga menyatakan tuhan itu ada, melihat, tidak buta, mendengar, tidak pekak dan seterusnya. Apa bezanya jika sekadar memahami perkara tersebut cuma?

Maka anak-anak orang Islam kita gagal memahami hakikat tauhid anti-syirik yang sebenar. Padahal ianya begitu mudah semudah memahami kalimah-kalimah akidah dalam surah al-Ikhlas yang ringkas. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: “Tambahan pula, perbahasan ilmu kalam, sekalipun mendalam dan kepenatan akal untuk memahami dan menguasainya, ia bukannya akidah…Lebih daripada itu perbahasan ilmu kalam telah terpengaruh dengan pemikiran Yunan dan cara Yunan dalam menyelesaikan masalah akidah. Justeru itu imam-imam salaf mengutuk ilmu kalam dan ahlinya serta berkeras terhadap mereka” (Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da’iyah, m.s. 92 Beirut: Muassasah al-Risalat). Dahulu kelemahan ini mungkin tidak dirasa, tetapi apabila kita hidup dalam dunia persaingan, kita mula menderitai kesannya.

Jika akidah jenerasi kita jelas, apakah mereka boleh keliru antara ajaran Islam dan Kristian? Adakah mereka tidak tahu beza antara ajaran yang menyebut tuhan bapa, tuhan anak dan ruhul qudus dengan akidah Islam yang anti-syirik, hanya disebabkan adanya sebutan Allah? Begitu jauh sekali perbezaan itu! Bagaimana mungkin sehingga mereka tidak dapat membezakan antara malam dan siang? Apakah juga nanti kita tidak membenarkan pihak lain menyebut nama nabi Ibrahim, Ishak, Ya’kub, Daud dan lain-lain kerana budak-budak kita akan keliru lagi. Akidah apakah yang mereka belajar selama ini di KAFA, JQAF dan berbagai lagi sehingga begitu corot. Kalau begitu, sama ada sukatan itu lemah, atau tenaga pengajarnya perlu dibetulkan.

Maka sebenarnya, isu ini adalah isu kelemahan kita umat Islam dalam memahami akidah yang sebenar. Jenerasi kita tidak mempunyai benteng akidah yang kukuh. Lalu kita semua bimbang mereka keliru dengan akidah orang lain. Untuk mengatasi masalah ini, kita cuba mengambil pendekatan undang-undang. Agar dengan halangan undang-undang, kelemahan akidah generasi kita dapat dipertahankan.

Persoalan yang patut kita fikirkan, sehingga bilakah kita akan mampu terus hidup hanya berbekalkan oksigen dari saluran undang-undang sehingga kita yang majoriti, dengan segala peruntukan yang ada; TV, radio, berbagai-bagai institusi dan agensi yang dilindungi, masih takut kepada gerakan minoriti? Di manakah kehebatan Islam yang selalu kita sebut dan ceritakan sejarah kegemilangannya? Atau sebenarnya, kita tidak memiliki Islam seperti hari ia diturunkan? Maka kempen Islam kita selalu tidak berkesan.

Bagi saya, bukan soal nama Allah itu yang terlalu perlu untuk direbut atau dijadikan agenda besar. Tetapi, gerakan membina semula akidah yang sejahtera dan memahamkan generasi kita wajah Islam yang sebenar agar mampu bersaing dan menghadapi cabaran zaman.